Jabatan Farmasi Hospital Kuala Lipis

Teknik Suntikan Ubat Heparin

Apa itu ubat Heparin?

Heparin adalah ubat cair darah yang menghalang darah daripada beku. Ia digunakan untuk menghalang pembekuan darah pada vena, arteri dan paru-paru. Pembekuan darah ini boleh menyekat pengaliran darah ke organ-organ penting dalam badan dan menyebabkan aliran darah terganggu.

Doktor menasihatkan penggunaan ubat ini selama seminggu sejurus selepas bersalin kerana risiko yang tinggi untuk mengalami darah beku pada vena di kaki (Deep Vein Thrombosis) dan di paru-paru (Pulmonary Embolism). Ibu yang berisiko tinggi adalah:

1. Ibu yang bersalin secara pembedahan atau Caesarean.

2. Ibu yang bersalin secara normal dan mempunyai BMI (Body Mass Index) yang melebihi 30 kg/m².

“Heparin tidak akan memasuki susu anda. Ia boleh diambil walaupun anda menyusukan anak.”

Selain itu, ubat ini juga digunakan untuk wanita mengandung kerana beberapa sebab. Antaranya:

1. Wanita yang mempunyai sejarah pembekuan darah pada arteri atau vena iaitu Deep Vein Thrombosis atau angin ahmar (Stroke) serta penggunaan injap jantung gantian (Heart Valve Replacement).

2. Wanita yang mempunyai antibodi yang boleh menyebabkan pembekuan darah tidak normal yang seterusnya mengakibatkan keguguran kandungan.

“Heparin tidak akan melalui placenta dan menjejaskan kandungan anda. Ia hany berfungsi di dalam badan anda untuk menghalang pembekuan darah.”

Kesan sampingan heparin

Kesan sampingan yang paling biasa ialah kesan lebam yang sederhana pada tempat suntikan. Jika anda mengalaminya, tunggu sehingga kesan lebam hilang sebelum menyuntik pada tempat yang sama.

Sila hubungi doktor jika anda mempunyai kesan sampingan serius seperti:

1. Mudah lebam pada anggota badan (selain tempat suntikan) dan banyak tanda lebam (tanda-tanda kecenderungan untuk berlaku pendarahan).

2. Pendarahan luar biasa: hidung berdarah, gusi berdarah, air kencing berdarah, najis berdarah atau najis berwarna hitam.

3. Tindakbalas alahan kepada heparin seperti mual, muntah, berpeluh, gatal-gatal, kesukaran bernafas, bengkak pada muka, bibir, lidah atau tekak serta berasa seperti hendak pengsan.

Cara suntikan ubat heparin

A. Penyediaan ubat dalam picagari

  1. Basuh tangan dengan sabun dan keringkan dengan tuala bersih.
  2. Buka penutup plastik ubat yang berwarna biru. Guna kapas  beralkohol untuk bersihkan getah penutup ubat.
  3. Tanggalkan penutup jarum. Masukkan udara ke dalam picagari dengan menarik omboh sehingga 1mL. (Lihat Gambar A)
  4. Masukkan jarum ke dalam botol ubat melalui getah penutup. Tekan omboh untuk masukkan udara ke dalam botol ubat. (Lihat Gambar B)
  5. Terbalikkan botol ubat dengan jarum masih di dalamnya. Pastikan hujung jarum sentuh ubat Heparin. Tarik omboh sehingga 1mL (dos Heparin anda). (Lihat Gambar C)
  6. Keluarkan picagari and jarum daripada botol ubat dengan menarik botol ubat ke atas.
  7. Periksa jika ada gelembung udara di dalam picagari. Jentik picagari sehingga gelembung udara bergerak ke arah jarum.
  8. Tekan omboh dengan perlahan untuk keluarkan gelembung udara.
B. Cara suntikan heparin
  1. Sapu tapak suntikan dengan kapas beralkohol.
  2. Cubit kulit di tempat suntikan.
  3. Masukkan jarum secara condong 45 darjah ke dalam kulit yang masih dicubit.
  4. Tekan omboh picagari dengan perlahan sehingga picagari kosong.
  5. Keluarkan jarum dan lepaskan cubitan. 
  6. Tekan tempat suntikan dengan lembut dengan kapas beralkohol selama 1 minit untuk mengelakkan lebam.
  7. Jangan pasangkan semula penutup jarum. Buangkan jarum ke dalam tin dan tutup rapat untuk dilupuskan.

Tempat suntikan ubat heparin

Pastikan tempat suntiikan ditukar secara bergilir-gilir. Jangan suntik pada tempat yang sama setiap hari.

Kembali ke atas