Ubat GTN (Glyceryl Trinitrate) adalah sejenis ubat yang digunakan untuk melegakan sakit dada (angina) bagi pesakit yang mengalami masalah jantung. Sakit dada berlaku apabila otot jantung tidak dapat mendapat bekalan darah yang mencukupi.
Bagaimana ubat ini bertindak?
Ubat ini bertindak dengan membantu mengembangkan saluran darah supaya peredaran darah ke jantung lebih lancar.
Bila ubat ini perlu diambil?
Apabila mengalami sakit dada sahaja.
Bagaimana ubat ini diambil?
Letakkan 1 biji di bawah lidah dan biarkanianya larut sepenuhnya.
Sekiranya sakit tidak berkurangan selepas 5 minit, letakkan 1 biji lagi.
Sekiranya sakit berterusan selepas 5 minit lagi, letakkan 1 biji lagi dan sila pergi ke hospital yang berdekatan dengan serta-merta.
Bagaimana menyimpan ubat ini?
Simpan
ubat ini dalam bekas yang dibekalkan (bekas kaca yang gelap) dan sentiasa ditutup ketat.
Simpan ubat ini di tempat kering dan jauh dari panas / cahaya matahari.
Sentiasa bawa ubat ini bersama anda.
Tarikh luput ubat ini adalah dalam tempoh 2 bulan selepas dibuka pertama kali. Catatkan tarikh pada botol selepas ianya dibuka. Sila dapatan bekalan ubat baru di farmasi dan pulangkan ubat yang telah luput itu.
Anda perlu tahu ......
Ubat ini mungkin menyebabkan pening ketika berdiri. Bangun secara perlahan sekiranya anda sedang duduk atau berbaring untuk mengurangkan kesan tersebut.
Warga emas mungkin lebih sensitif terhadap kesan ubat ini, terutamanya pening yang boleh menyebabkan risiko terjatuh.